SEJARAH PERKEMBANGAN TULISAN BAHASA MELAYU

1.0 PENGENALAN

    Bahasa Melayu merupakan simbol penting identiti dan warisan budaya masyarakat di rantau Nusantara. Bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi dan kebangsaan di Malaysia berfungsi untuk melangkaui komunikasi harian. Selain itu, bahasa Melayu memainkan peranan besar dalam bidang pendidikan, pentadbiran, kesusasteraan serta perkembangan tamadun. Sepanjang sejarahnya, bahasa Melayu telah melalui proses evolusi yang panjang bermula dengan penggunaan tulisan Kawi dan Pallava, kemudian berkembang kepada tulisan Jawi dan akhirnya beralih kepada tulisan Rumi yang diguna pakai secara rasmi pada masa kini. Proses ini turut disusuli dengan usaha pembakuan dari segi ejaan, tatabahasa dan pembentukan istilah demi memperkukuh kedudukannya sebagai bahasa ilmu. Namun begitu, kemajuan ini turut disertai dengan cabaran besar termasuk pengaruh bahasa asing yang meluas, perubahan budaya digital serta sikap segelintir masyarakat yang kurang menghargai peranan bahasa Melayu dalam bidang rasmi. Oleh itu, langkah strategik dan kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan agar bahasa ini terus kukuh, dinamik dan relevan dalam dunia moden.


2.0 SEJARAH PERKEMBANGAN TULISAN

2.1 SISTEM TULISAN PALLAVA

    Tulisan Pallava merupakan satu tulisan kuno yang tersebar luas semasa pemerintahan Dinasti Pallava sekitar abad ke-4 hingga abad ke-9 Masihi. Tulisan ini berasal dari India Selatan, tepatnya dari wilayah Tamil Nadu dan merupakan salah satu cabang daripada tulisan Brahmi. Selain itu, tulisan Brahmi ialah sistem tulisan tertua di India yang telah melahirkan pelbagai aksara di Asia Selatan dan Asia Tenggara. 

    Tulisan Pallava ini tersebar ke Asia Tenggara melalui proses perdagangan, hubungan diplomatik dan penyebaran agama Hindu-Buddha daripada para pedagang dan sami dari India. Tulisan ini menjadi asas kepada pembentukan aksara Kawi dalam kalangan orang Melayu. Walau bagaimanapun, penyebaran tulisan Pallava hanya terbatas kepada golongan bangsawan dan kebanyakannya ditemui pada batu-batu bersurat.

Dari sudut sejarah, bukti terawal penggunaan bahasa Melayu dalam bentuk tulisan ditemui pada batu bersurat dari abad ke-7 yang ditemukan di Sumatera dan Pulau Bangka. Batu bersurat ini menggunakan aksara Pallava dan dikenali sebagai Prasasti Tarumanegara yang bertarikh sekitar 400 Masihi. Tulisan yang terdapat pada batu ini adalah dalam bahasa Melayu kuno yang bercampur dengan bahasa Jawa kuno dan mengandungi catatan tentang sejarah serta keagungan raja pada zaman tersebut.

Sistem tulisan Pallava turut membahagikan simbol huruf kepada dua kategori utama iaitu konsonan dan vokal serta dilengkapi dengan pelbagai tanda tambahan untuk menghasilkan bunyi yang berbeza. Secara keseluruhannya, sistem ini jauh lebih kompleks berbanding tulisan Rumi kerana pelbagai simbol gabungan bunyi turut diperkenalkan seperti au, ai, pa, ya, kka, nca dan sebagainya. Setiap konsonan bukan sekadar mewakili huruf tetapi juga membawa bunyi tertentu yang berbeza.

Tulisan Pallava

2.2 SISTEM TULISAN KAWI

    Tulisan Kawi merupakan sistem tulisan yang berasal dari masyarakat Jawa dan sering dirujuk sebagai tulisan kuno Jawa. Tulisan ini berkembang daripada aksara Pallava yang digunakan untuk menulis bahasa Sanskrit dan Jawa Kuno serta turut mengandungi pengaruh budaya Hindu yang kuat. Asal usul 'Kawi' itu sendiri diambil daripada perkataan Sanskrit yang bermaksud penyair. Perkara ini melambangkan ciri-ciri tulisan Kawi yang bersifat puitis dan indah.

    Sistem tulisan ini mula digunakan sejak abad ke-8 Masihi, khususnya di wilayah Jawa Timur dan berkembang di bawah pemerintahan Kerajaan Singhasari. Melalui kerajaan ini, penggunaan tulisan Kawi telah meluas ke seluruh Asia Tenggara termasuk Bali, Sumatera, Borneo dan kawasan-kawasan Melayu yang lain. Seterusnya, tulisan Kawi terus digunakan sehingga abad ke-16.

    Menurut Nik Hassan Shuhaimi (2007), penggunaan aksara Kawi dan Pallava dalam prasasti-prasasti awal termasuk di kawasan utara Semenanjung telah menjadi bukti kepada pertembungan awal budaya India dengan penduduk tempatan. Beliau juga menyatakan bahawa tulisan Kawi memainkan peranan penting dalam pembentukan kesusasteraan Melayu awal khusunya kepada penulisan karya-karya yang berunsur Hindu-Buddha sebelum tulisan Jawi berkembang pesat.

    Selain daripada itu, beberapa penemuan arkeologi turut mengesahkan penyebaran tulisan Kawi. Antaranya ialah dua batu bersurat yang ditemukan di daerah Tapanuli, Sumatera iaitu Batu bersurat Joreng (1179 M) dan Batu bersurat Padang Lawas (1213 M). Tulisan yang ditemui memiliki sistem huruf yang unik seperti a, ka, me, ti, dan sa yang membezakan Kawi daripada sistem tulisan lain pada zamannya.


2.3 SISTEM TULISAN JAWI

    Tulisan Jawi merupakan sistem tulisan yang berasal daripada huruf Arab tetapi telah diubah suai mengikut kesesuaian bunyi dan struktur bahasa Melayu serta beberapa bahasa lain di Alam Nusantara seperti Aceh, Banjar, dan Bugis. Perkembangannya bermula sekitar abad ke-13 Masihi selari dengan kedatangan dan penyebaran agama Islam yang dibawa oleh para pedagang dari Arab, Parsi, dan India Muslim. 

    Sistem ini menggabungkan huruf Arab dengan beberapa huruf tambahan seperti چ (ca), ڠ (nga) dan ڤ (pa). Huruf-huruf ini diperkenalkan bagi mewakili bunyi-bunyi dalam bahasa Melayu yang tiada dalam sistem Arab asal. Tulisan Jawi telah digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang seperti penulisan teks keagamaan Islam, dokumen undang-undang dan pentadbiran kerajaan, karya kesusasteraan klasik serta surat menyurat diraja dan rekod rasmi.

    Sebelum pengenalan tulisan Rumi oleh penjajah, tulisan Jawi berfungsi sebagai sistem tulisan rasmi di Tanah Melayu. Tulisan ini bukan sebagai alat komunikasi sahaja tetapi juga merupakan lambang tamadun, ilmu dan identiti bangsa Melayu. Tulisan ini telah mempengaruhi cara berfikir, menulis, dan mewariskan ilmu dalam masyarakat Melayu selama berabad-abad. 

    Menurut Zainiy Uthman (2012), beliau menekankan bahawa Jawi memainkan peranan sebagai jambatan antara ilmu Islam dan dunia Melayu serta menjadikan tamadun Melayu sebagai salah satu tamadun Islam yang berbahasa bukan Arab. Dalam erti kata lain, tulisan Jawi bukan sekadar sistem penulisan tetapi merupakan bahagian penting dalam sejarah dan identiti Melayu-Islam. Oleh itu, tulisan ini telah memainkan peranan besar dalam pembangunan ilmu, penyebaran agama Islam serta pembentukan tamadun Melayu yang unggul di rantau ini.


2.4 SISTEM EJAAN ZA'BA

    Sistem Ejaan Za'ba merupakan satu bentuk sistem ejaan bahasa Melayu yang ditulis dalam aksara Jawi dan diperkenalkan oleh seorang tokoh bahasa Melayu iaitu Tan Sri Zainal Abidin bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Za'ba. Sistem ini mula diperkenalkan menerusi karya beliau yang berjudul Pelita Bahasa Melayu (Jilid I) pada tahun 1924. Pada ketika itu, penulisan Jawi masih belum seragam dan mengandungi pelbagai variasi ejaan yang menyebabkan kekeliruan terutamanya dalam kalangan pelajar dan masyarakat umum. Oleh itu, sistem ini diwujudkan untuk menyeragamkan ejaan Jawi serta memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. 

    Za'ba (1924) sendiri menyatakan bahawa sistem ini bertujuan untuk memudahkan pemahaman bahasa Melayu khususnya dalam konteks pendidikan dan penulisan. Menurut pendapat Asmah Haji Omar (2008) pula, beliau menyatakan bahawa sistem ejaan Za'ba merupakan langkah awal ke arah pemantapan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pentadbiran. 

     Sistem ini turut berjaya menyatukan pelbagai variasi ejaan Jawi yang digunakan di Tanah Melayu, Singapura dan Indonesia pada waktu itu (Nik Safiah Karim, 2009). Antara ciri-ciri sistem ejaan Za’ba ialah ejaan ini berteraskan sebutan baku (fonetik) di mana ejaan ditulis mengikut sebutan sebenar dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, perkataan men-lihat ditulis sebagai مليهت. Jelaslah bahawa, perkataan ini bukan sekadar mengikut ejaan Arab semata-mata. 

    Selain itu, ejaan ini menggunakan penulisan imbuhan yang konsisten. Buktinya, imbuhan ditulis rapat dengan kata dasar untuk menunjukkan struktur bahasa Melayu yang betul. Tidak dinafikan lagi, sistem ini merupakan satu pembaharuan penting dalam penulisan Jawi kerana telah memberi impak dalam membantu menyelaraskan penulisan, memudahkan pengajaran dan menjadi asas kepada sistem ejaan Jawi moden yang digunakan hingga ke hari ini.


2.5 EJAAN RUMI KONGRES

    Ejaan Rumi Kongres merupakan satu sistem ejaan bahasa Melayu yang menggunakan huruf Rumi (Latin) dan telah diperkenalkan secara rasmi pada tahun 1956 semasa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga yang berlangsung serentak di Johor Bahru dan Singapura. Sistem ini dirangka hasil perbincangan dan persetujuan dalam kalangan sarjana bahasa, cendekiawan serta wakil negara dari Tanah Melayu, Singapura, dan Brunei. 

    Sebelum pengenalan Ejaan Kongres, pelbagai sistem ejaan Rumi yang berbeza-beza telah wujud seperti Ejaan Wilkinson, Ejaan Za’ba, dan Ejaan Indonesia. Variasi ini menyebabkan ketidakselarasan dalam bahan bacaan dan pendidikan bahkan menyulitkan usaha membangunkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Maka, Ejaan Kongres dirangka sebagai satu usaha penyatuan sistem ejaan bagi menjadikan penulisan bahasa Melayu lebih mudah difahami, teratur dan standard di seluruh rantau Melayu. Selain itu, sistem ini juga bertujuan untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah, serta melancarkan penerbitan bahan-bahan ilmiah, sastera dan pentadbiran.

    Sumbangan besar Ejaan Rumi Kongres tidak hanya terhenti pada tahun 1956 malah menjadi asas penting kepada perumusan Ejaan Rumi Baharu 1972 iaitu satu sistem ejaan hasil kerjasama antara Malaysia dan Indonesia. Sistem ini bertujuan untuk menyatukan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia di peringkat serantau. Ejaan Kongres menjadi pelantar awal ke arah penyelarasan ini dan meletakkan asas kukuh bagi pembangunan korpus bahasa Melayu moden yang bersifat lebih ilmiah, rasmi dan praktikal.

    Asmah Haji Omar (2008) menyifatkan bahawa Ejaan Kongres sebagai "batu loncatan penting" dalam usaha membina sistem bahasa Melayu moden yang mantap dan sesuai untuk kegunaan dalam pendidikan dan pentadbiran. Seterusnya, menurut Nik Safiah Karim (2009), sistem ini telah mempercepatkan proses pemodenan bahasa Melayu, menyatukan pelbagai variasi ejaan yang sebelumnya bercanggah serta memperkukuh identiti linguistik dan kebangsaan masyarakat Melayu.

    Secara keseluruhannya, ysaha penyeragaman ini telah memperkukuh kedudukan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang dan menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada pembentukan identiti nasional.


2.6 PEDOMAN EJAAN RUMI BAHASA MELAYU

    Pedoman Ejaan Rumi Bahasa Melayu ialah dokumen rasmi yang mengandungi peraturan dan panduan sistematik untuk penulisan bahasa Melayu menggunakan huruf Rumi (Latin). Dokumen ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, penerbitan, komunikasi rasmi serta pentadbiran di Malaysia dan Brunei.

    Pedoman ini diperkenalkan secara rasmi pada tahun 1972 melalui kerjasama antara Malaysia dan Indonesia, hasil kesepakatan untuk menyatukan sistem ejaan yang sebelumnya tidak seragam. Inisiatif ini dikenali sebagai Ejaan Rumi Baharu 1972 (atau Ejaan Baku) yang menggantikan sistem ejaan terdahulu seperti Ejaan Za'ba dan Ejaan Kongres 1956. Sebelum pedoman ini diwujudkan, penulisan bahasa Melayu dalam huruf Rumi digunakan secara tidak konsisten dan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

    Tujuan Utama Pedoman Ejaan Rumi adalah untuk menyeragamkan sistem ejaan dalam penulisan bahasa Melayu, memudahkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu, mengelakkan kekeliruan dalam penulisan rasmi, media dan penerbitan serta menjadi rujukan sah bagi institusi pendidikan, kerajaan, dan penerbit.

    Sejak pelaksanaannya, pedoman ini telah digunakan dalam pelbagai konteks seperti dokumen rasmi kerajaan, buku teks, surat-menyurat serta bahan penerbitan umum. Tambahan pula, pedoman ini juga menjadi rujukan utama dalam pengajaran bahasa Melayu di peringkat sekolah dan universiti. Penyelarasan ini turut memudahkan komunikasi antara pengguna bahasa Melayu di Malaysia, Brunei dan sebahagian wilayah Indonesia sekali gus mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa serantau.


2.7 FUNGSI DAN KONTEKS PENGGUNAAN

    Sistem tulisan berperanan penting sebagai alat komunikasi bertulis yang membolehkan manusia menyampaikan maklumat, idea, emosi dan ilmu merentas masa serta tempat. Penulisan menjadi medium utama dalam merakam sejarah, perundangan, agama, adat dan ilmu pengetahuan sekali gus menjadi asas pembinaan tamadun. Melalui tulisan, ilmu dapat disebar dan dipelihara dalam bentuk buku, manuskrip dan sistem pendidikan. 

    Selain itu, sistem tulisan memperkukuh identiti budaya dan bahasa sesuatu bangsa seperti tulisan Jawi yang mencerminkan warisan Melayu atau tulisan Kawi bagi masyarakat Jawa lama. Dalam konteks harian, tulisan digunakan secara meluas dalam pentadbiran dan urusan rasmi seperti dokumen kerajaan, undang-undang, surat menyurat dan pendidikan. 

    Sistem tulisan juga memainkan peranan penting dalam pelbagai bidang lain termasuk pendidikan (buku teks, nota, peperiksaan), agama (kitab suci, khutbah), sosial dan budaya (puisi, kesusasteraan), serta teknologi dan media (laman web, papan iklan digital dan media sosial).


3.0 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU PRAMERDEKA DAN PASCAMERDEKA

3.1 PERANAN INSTITUSI PENYELARASAN

    Sebelum kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957, terdapat beberapa institusi penting yang berperanan besar dalam menyelaras dan memperkukuh bahasa Melayu sebagai medium ilmu dan komunikasi. Salah satu institusi terawal ialah Pejabat Karang Mengarang yang ditubuhkan pada tahun 1924 di Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) di Tanjung Malim. Institusi ini diasaskan oleh Za’ba bersama O.T. Dussek dengan tujuan untuk menghasilkan serta menerbitkan bahan bacaan dan buku teks dalam bahasa Melayu. Antara sumbangan terbesar ialah usaha menyeragamkan ejaan dan istilah, meningkatkan mutu penulisan ilmiah, serta melatih penulis dan penterjemah tempatan.

    Lebih awal daripada itu, pada tahun 1888, satu lagi institusi penting telah ditubuhkan di Johor iaitu Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa. Institusi ini merupakan hasil inisiatif Dato’ Seri Amar Diraja Abdul Rahman Andak. Tujuan utama pakatan ini adalah untuk memelihara, mengembangkan dan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu. Institusi ini juga menjadi badan ilmiah pertama yang memberi tumpuan kepada perancangan bahasa secara formal termasuk usaha membakukan ejaan dan tatabahasa. 

    Selepas kemerdekaan, peranan institusi bukan kerajaan mula diambil alih secara rasmi oleh kerajaan menerusi penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1956 yang kemudian disahkan melalui Ordinan DBP 1959. DBP diberi mandat sebagai agensi utama dalam menyelaras, mengembang dan memartabatkan bahasa kebangsaan. Antara fungsinya termasuklah menyediakan panduan rasmi seperti ejaan, tatabahasa, istilah serta menerbitkan bahan-bahan ilmiah dan umum seperti Kamus Dewan. DBP juga aktif menganjurkan seminar, bengkel dan kempen untuk mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua lapisan masyarakat.

    Menurut Awang Sariyan (2016), tokoh bahasa kontemporari dan mantan Ketua Pengarah DBP, institusi ini merupakan benteng utama dalam mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu. Beliau menegaskan bahawa tanpa badan penyelaras seperti DBP, bahasa Melayu berisiko hilang fungsi rasmi dan terpinggir dalam arus globalisasi yang semakin mencabar.

    Usaha penyelarasan bahasa turut diperluas ke peringkat serantau melalui penubuhan Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM) pada tahun 1972 yang pada asalnya dikenali sebagai MBIM. Majlis ini ditubuhkan untuk menyeragamkan sistem ejaan, istilah dan pembinaan bahasa antara negara-negara serumpun selain memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa serantau.


3.2 BAHASA MELAYU DALAM SISTEM PENDIDIKAN

    Sebelum kemerdekaan, sistem pendidikan di Tanah Melayu banyak dipengaruhi oleh dasar penjajah British yang menyekat perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Dalam konteks ini, Sekolah Melayu diwujudkan khusus untuk anak-anak Melayu luar bandar dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Namun, matlamat pendidikan di sekolah ini hanyalah untuk menyediakan asas kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) dan bukan untuk melahirkan golongan intelektual. Kebanyakan murid hanya berpeluang belajar sehingga darjah empat sahaja.

    Sementara itu, sistem pendidikan turut merangkumi sekolah vernakular lain seperti aliran Inggeris, Cina dan Tamil. Sekolah Inggeris menjadi pilihan utama golongan bandar kerana membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Dalam sekolah-sekolah ini, bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa pengantar.

    Meskipun peranannya terhad ketika itu, terdapat usaha awal memartabatkan bahasa Melayu. Penubuhan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada tahun 1922 menjadi antara langkah penting kepada usaha ini. Institusi ini bukan sahaja melatih guru-guru Melayu tetapi juga memainkan peranan besar dalam mengembangkan penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan. Di samping itu, akhbar dan majalah seperti Utusan Melayu dan Al-Imam menggunakan bahasa Melayu untuk menyemai kesedaran nasionalisme dan jati diri bangsa.

    Selepas kemerdekaan, pelbagai dasar pendidikan diperkenalkan untuk memperkukuh kedudukan bahasa Melayu. Laporan Razak 1956 menjadi tonggak kepada pembentukan Sistem Pendidikan Kebangsaan. Laporan ini menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan dan menekankan perpaduan kaum melalui sistem pendidikan yang seragam. Perkara ini diperkukuh lagi melalui Laporan Rahman Talib 1960 yang mengesahkan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib di semua sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan. Kemudian, Akta Pendidikan 1961 menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu secara berperingkat di semua institusi pendidikan kerajaan.

    Bermula era Dasar Pendidikan Kebangsaan 1970-an hingga kini, bahasa Melayu terus menjadi bahasa pengantar utama di sekolah dan universiti awam. Pengenalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mengukuhkan lagi peranannya sebagai medium utama penyampaian ilmu. Malah, bahasa Melayu turut diajar sebagai bahasa kedua di sekolah antarabangsa dan aliran lain menjadikannya simbol perpaduan serta identiti negara dalam sistem pendidikan moden Malaysia.


3.3 PENGENALAN BAHASA MELAYU MODEN

    Sebelum kemerdekaan, bahasa Melayu telah melalui proses transformasi penting untuk disesuaikan dengan keperluan semasa. Pada awal abad ke-20, pembaharuan bahasa ini bermula melalui pelbagai saluran termasuk institusi pendidikan, penulisan ilmiah dan penerbitan media. Penubuhan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada tahun 1922 menjadi pemangkin utama dalam melahirkan tenaga pengajar yang mahir dalam bahasa Melayu moden serta menghasilkan bahan penulisan yang lebih sistematik. Dalam aspek linguistik pula, usaha penyusunan sistem ejaan dan tatabahasa yang moden telah dilaksanakan melalui karya Za’ba seperti Pelita Bahasa Melayu yang memperkemaskan struktur bahasa dan ejaan agar lebih teratur dan mudah difahami.

    Media cetak juga memainkan peranan penting dalam memperluas penggunaan bahasa Melayu. Akhbar dan majalah seperti Utusan Melayu dan Al-Imam menjadi wadah penyebaran tulisan-tulisan moden yang membawa istilah baharu serta idea-idea pemikiran semasa sekali gus meningkatkan fungsi bahasa Melayu dalam bidang ilmu. Pada masa yang sama, bahasa Melayu mula digunakan dalam bidang sains, pendidikan dan pentadbiran meskipun masih di bawah kawalan sistem kolonial British. Ketika ini, bahasa Melayu sedang mengalami peralihan daripada bentuk klasik kepada bentuk moden dengan ciri-ciri seperti sistem tatabahasa baku dan ejaan yang seragam menjadikannya lebih sesuai digunakan dalam konteks rasmi dan pendidikan.

    Selepas kemerdekaan pada tahun 1957, kedudukan bahasa Melayu diperkukuhkan lagi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Dalam usaha menyelaras dan membangunkan bahasa ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan pada tahun 1956 yang berperanan penting dalam pembakuan ejaan (seperti melalui Ejaan Rumi Baharu 1972), penghasilan istilah moden serta penerbitan karya ilmiah dan sastera. Bahasa Melayu kemudiannya digunakan secara meluas dalam pentadbiran kerajaan, institusi pendidikan tinggi, media massa dan penulisan akademik menjadikannya teras kepada pembangunan ilmu di negara ini.

    Selain berkembang dalam negara, bahasa Melayu turut memainkan peranan di peringkat serantau khususnya di Nusantara dan diperkenalkan sebagai bahasa pengajian di beberapa universiti luar negara. Dalam era pascamerdeka ini, bahasa Melayu moden tampil dengan ciri yang lebih mantap iaitu bahasa ini memiliki sistem tatabahasa dan ejaan yang seragam serta digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang profesional, pentadbiran dan ilmiah. Jelaslah bahawa bahasa melayu telah memperkukuhkan kedudukannya sebagai lambang identiti negara dan wahana ilmu.


4.0 CABARAN DAN MASA DEPAN BAHASA MELAYU

    Bahasa Melayu kini berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam usaha untuk dimartabatkan sebagai bahasa ilmu, profesional dan antarabangsa. Salah satu cabaran utama ialah dominasi bahasa asing khususnya bahasa Inggeris yang masih menjadi bahasa utama dalam sektor pendidikan tinggi, teknologi dan perniagaan. Kebergantungan terhadap bahasa Inggeris ini menjejaskan usaha untuk memperluas peranan bahasa Melayu dalam bidang-bidang strategik. Di samping itu, sikap masyarakat juga menjadi penghalang apabila segelintir rakyat masih menganggap bahasa Melayu kurang nilai ekonomi dan antarabangsa menyebabkan penggunaannya terbatas dalam komunikasi harian sahaja.

    Tambahan pula, pengaruh media sosial dan penggunaan bahasa rojak semakin menular telah menghakis keindahan, ketepatan dan mutu bahasa Melayu standard. Dalam bidang sains dan teknologi, bahasa Melayu juga masih ketinggalan kerana banyak istilah penting masih dalam bahasa asing hasil daripada kekurangan penterjemahan dan penciptaan istilah baharu yang sistematik. Globalisasi turut menjadi cabaran besar apabila bahasa-bahasa dominan dunia seperti Inggeris, Mandarin dan Arab menguasai komunikasi global lantas memberi tekanan kepada peranan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

    Namun begitu, masa depan bahasa Melayu masih mempunyai harapan yang cerah sekiranya langkah strategik diambil secara berterusan. Pemantapan dasar bahasa kebangsaan perlu diteruskan melalui pelaksanaan menyeluruh dalam sistem pendidikan, pentadbiran dan perundangan agar bahasa Melayu kekal sebagai bahasa utama negara. Usaha pemodenan dan inovasi bahasa juga sangat penting khususnya dalam memperkaya kosa kata teknikal dan saintifik melalui agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dalam hal ini, generasi muda harus diberi peranan penting dengan menyemai semangat cintakan bahasa Melayu dan menggalakkan penggunaannya dalam komunikasi rasmi dan platform digital. 

    Selain itu, penyebaran bahasa Melayu di peringkat antarabangsa boleh dipertingkatkan melalui pengajaran di universiti luar negara serta kerjasama serantau menerusi badan seperti Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM). Sokongan teknologi digital juga amat diperlukan di mana pengintegrasian bahasa Melayu dalam aplikasi, platform terjemahan automatik dan kecerdasan buatan mampu menjadikan bahasa ini kekal relevan dalam dunia digital dan berdaya saing di persada global.


5.0 KESIMPULAN

    Secara keseluruhannya, bahasa Melayu telah melalui proses perkembangan yang panjang dan signifikan bermula daripada tulisan tradisional seperti Kawi dan Jawi kemudian bertukar kepada sistem tulisan Rumi yang moden dan seragam sehingga ke hari ini. Usaha pembakuan ejaan, penggubalan dasar bahasa serta peranan institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah memperkukuh kedudukan bahasa ini sebagai bahasa ilmu, pentadbiran dan kebangsaan. Namun, cabaran seperti dominasi bahasa asing, sikap masyarakat yang ambivalen serta pengaruh budaya digital tetap menuntut perhatian serius agar bahasa Melayu tidak terus terpinggir dalam arus globalisasi. Oleh itu, komitmen semua pihak termasuklah kerajaan, institusi pendidikan, media dan generasi muda amat penting dalam memastikan bahasa Melayu terus hidup, berkembang dan dihormati sebagai salah satu bahasa utama dunia yang berakar daripada tamadun besar Alam Melayu.


6.0 RUJUKAN

Asmah Haji Omar. (1993). Nahu Melayu Mutakhir. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Haji Omar. (2008). Ensiklopedia Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2016). Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Musa. (2009). Kegemilangan Tulisan Jawi dalam Tamadun Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. https://online.anyflip.com/emsqi/rgkh/mobile/index.html

Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman. (2007). Warisan Sejarah dan Tamadun Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa & Abdul Hamid Mahmood. (2009). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Za’ba. (1924). Pelita Bahasa Melayu Jilid I. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zainiy Uthman. (2012). Islam dan Pembentukan Tradisi Intelektual Melayu. Penerbit UKM.

 

Comments